Jangan sampai anak-anak trauma dengan agama gara-gara kita tak sabar didik mereka dalam beragama!
Tengah viral sekarang video seorang Ustaz (guru agama) belasah budak-budak tahfiz yang ‘fly’ keluar asrama waktu malam. Pergi main game, siap ada yang kantoi hisap rokok lagi.
Saya baca kisah tu. Tapi video tu... saya tak sanggup tengok.
More...
Saya boleh faham kenapa ustaz tu meletup.
Kecewa, marah, geram, mungkin juga risau... semua bercampur.
Bila dikuasai emosi, memang susah nak kawal diri.
Tapi kesannya besar. Katanya dah jadi kes polis.
Bila jadi kes polis, risikonya besar — boleh masuk ke dalam!
Niat baik tak menghalalkan cara
Saya simpati kepada kedua-dua pihak.
Saya simpati budak-budak yang kena belasah. Dan saya juga simpati Ustaz yang tak mampu kawal marah. Dua-dua pun ada salah masing-masing.
Cuma saya nak fokus dari sudut kita sebagai pendidik. Terutama kita sebagai ibubapa yang nak didik anak dengan agama.
Sebenarnya, benda ni bukan berlaku pada ustaz je. Dalam rumah kita sendiri pun boleh jadi.
Kalau ada rakaman CCTV cara sesetengah ibubapa lepaskan marah pada anak, saya yakin ramai juga yang boleh “masuk ke dalam”.
Rotan anak sampai berbirat pun sebenarnya salah. Ia cukup untuk ibubapa tu kena dakwa di bawah Akta Kanak-Kanak. Boleh kena denda, malah boleh kena penjara!
Didik agama tak ikut cara agama
Sebenarnya bukan undang-undang je tak benarkan kekerasan, agama pun tak benarkan.
Ramai orang salah faham hadis Nabi ﷺ pasal “pukul anak kalau tak solat”.
Hadis ni selalu dijadikan 'lesen' untuk pukul anak-anak bila mereka tak dengar cakap. Sedangkan setahu saya, tak ada satu pun dalil yang tunjuk Nabi ﷺ sendiri pernah pukul anak kecil - termasuk yang tak solat!
Dan setakat apa yang saya faham, pukul sampai menyakitkan, mencederakan dan buat anak trauma — hukumnya haram.
Itu zalim... Berdosa... Walaupun anak kita sendiri.... Walaupun niat kita baik (nak mendidik)!
Pendek kata, cara macam tu sebenarnya langgar agama atas nama agama.
- Haram merotan anak sampai cedera - Pejabat Mufti Wilayah
Tukar marah kepada rahmah
Jujur saya cakap, saya pun dulu tertanya-tanya;
Boleh ke didik anak-anak tanpa marah-marah?
Kalau tak marah, boleh ke anak dengar cakap? Boleh ke anak ikut?
Saya cuba cari dalil... Saya cari hadis... Mana tahu ada nas yang tunjuk Nabi ﷺ tekan orang supaya taat beragama.
Tapi saya tak jumpa...
Saya tak jumpa Nabi didik dengan cara marah dan menekan... Bahkan dalam perang pun Nabi ﷺ tak lepaskan marah. Bila menang pun, Nabi tak balas dendam!
Didikan Nabi ﷺ penuh hikmah, sabar dan kasih sayang. Bukan melempiaskan marah.
Kasih sayang Baginda sungguh luas... Bukan setakat untuk keluarga, tapi untuk seluruh umat, termasuk yang belum beriman.
Tinggalkan trauma, bukan taqwa
Bila saya renung balik pengalaman membesarkan 8 orang anak, saya boleh katakan; tak ada kebaikan pun melepaskan marah kepada anak-anak.
Walaupun niat kita kononnya nak mendidik.
Yang pastinya akan datang rasa menyesal kemudian hari. Kita sendiri yang rasa menyesal...
Sebab bila marah, kita mudah bertindak berlebihan. Rotan anak sampai berbirat.... Hukum sampai mencederakan... Bahkan ada ibubapa hukum anak sampai tinggalkan kesan cederaan kekal...
Semua tu sebenarnya tak mendidik pun. Yang tinggal cuma trauma pada anak... Dan rasa bersalah kita pada diri sendiri.
Lebih sedih bila yang kita kasari tu anak kecil - yang Allah sendiri pun belum lagi kira dosa mereka! Tapi kita sudah pun menghukum mereka!...
Jujurnya, saya sendiri pun dah buat banyak silap. Saya sendiri pun masih lagi struggle nak jadi bapa yang baik.
Coretan saya ni bukan untuk mengajar sesiapa. Tapi sebagai muhasabah diri saya, dan juga peringatan buat ibubapa yang lain.
Tekan butang pause bila marah!
Salah satu perkara penting saya sentiasa ingatkan diri sendiri dalam mendidik anak-anak ialah;
👉 Cepat-cepat tekan butang pause setiap kali rasa nak marah!
Sebab kesan marah tu lebih banyak buruk berbanding baik.
Saya ingatkan diri sendiri;
👉 nak didik anak-anak dengan agama, kena ikut cara agama. Nak didik taqwa mesti dengan taqwa. Bukan ikut nafsu dan rasa marah kita.
Didikan yang datang daripada nafsu dan rasa marah tak akan lahirkan taqwa. Yang tinggal cuma kesan trauma yang membuatkan mereka makin jauh daripada agama.
Agama tu tak salah... Yang cara orang yang bawa agama tu yang salah...
Ingat tip ni;
👉 Marah tak melahirkan taqwa. Ia cuma meninggalkan trauma.
Didikan agama sepatutnya datang dengan rasa cinta dan kasih sayang. Kerana cinta dan sayangnya Nabi kepada kita, terasa indahnya didikan agama sampai kepada kita...
Allahumma solli 'alaa Muhammad...
“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu....”
- (Surah Ali ‘Imran, 3 : 159)
Zulkifli
Cyberjaya
18 Disember 2025
27 Jamadil Akhir 1447H
Allah sendiri tegaskan tentang pendekatan Nabi ﷺ:
“Maka dengan sebab rahmat daripada Allah, engkau (wahai Muhammad) bersikap lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras lagi berhati kasar, nescaya mereka akan lari dari sekelilingmu.”
Daripada ayat ni, saya belajar sesuatu: Lembut → orang dekat
Keras dan kasar → orang menjauh
Nabi tak pernah menengking atau memukul
Anas bin Malik r.a. (yang berkhidmat kepada Nabi selama 10 tahun) berkata:
“Aku berkhidmat kepada Rasulullah ﷺ selama sepuluh tahun. Baginda tidak pernah berkata ‘ah’ kepadaku, dan tidak pernah berkata: ‘Kenapa kamu buat begini?’ atau ‘Kenapa kamu tak buat begitu?’”
- (HR Bukhari no. 6038, Muslim no. 2309)
Ini testimoni langsung orang yang paling dekat dengan Baginda.
Nabi tak tengking orang Badwi kencing dalam masjid
Seorang Arab Badwi kencing di dalam masjid. Para sahabat terus nak marah dan halau.
Nabi ﷺ bersabda:
“Biarkan dia. Jangan kamu hentikan.”
Selepas tu Baginda nasihati dengan tenang, lalu bersabda:
“Masjid ini bukan tempat kencing atau kekotoran. Ia tempat zikir dan solat.”
- (HR Bukhari no. 6128, Muslim no. 285)
Tiada herdikan atau pun tekanan.
Tapi mesej sampai dan difahami.
Nabi tak marah pemuda minta izin berzina
Seorang pemuda datang dan berkata:
“Wahai Rasulullah, izinkan aku berzina.”
Para sahabat marah.
Nabi ﷺ tak marah, sebaliknya ajak berfikir dengan empati:
“Adakah kamu suka ia dilakukan ke atas ibu kamu?”
“Adakah kamu suka ke atas saudara perempuan kamu?”
Akhirnya pemuda tu berubah.
- (HR Ahmad, no. 22211) - Status : Sahih
Nabi ﷺ didik akal dan hati, bukan tekan emosi.
Aisyah r.a. berkata:
“Rasulullah ﷺ tidak pernah memukul sesuatu dengan tangannya, sama ada wanita atau pembantu, kecuali ketika berjihad di jalan Allah.”
Nabi tak pernah lepaskan marah dengan pukul orang yang lemah.
Aisyah r.a. berkata:
“...Rasulullah ﷺ tidak pernah membalas sesuatu untuk kepentingan dirinya sendiri. Tetapi jika kehormatan Allah dicabuli, Baginda akan marah kerana Allah.”
- (HR Bukhari no. 3560, Muslim no. 2327)
Artikel berkaitan:
- Sayangilah, Mereka Yang Menyayangi Akan Disayangi...
- Ruangkan Waktu Dengar Apa Yang Anak-anak Nak Luahkan
- Peluklah Anak-anak, Itu Bahasa Cinta Tanpa Perlu Berkata-kata
- Tanggungjawab Ibubapa Didik Anak-anak Cakna Tentang Dunia
- Raikanlah Usaha Anak-anak, Walau Apa Pun Keputusan Peperiksaan Mereka
- Waktu Terbaik Beri Nasihat Untuk Anak-anak

