"Tuan Zul, tolong bagi nasihat sikit kepada suami saya ni."
Itu permintaan seorang isteri (murid saya, dealer Public Gold) ketika dia perkenalkan suaminya kepada saya.
Dia harap sangat saya boleh bagi nasihat man-to-man, supaya suami dia pun sama-sama bagi komitmen untuk jadi dealer aktif.
More...
Saya tak bagi apa-apa nasihat kepada orang yang tak minta nasihat... Sebabnya, bila orang tak minta nasihat, kebiasaannya dia pun tak bersedia untuk terima.
Saya cuma ucapkan penghargaan - sebab sokongan dan keizinan suamilah, si isteri boleh jadi dealer Public Gold berjaya pada hari ini.
Jangan ajar dia, jangan suruh dia
Nasihat saya buat isteri-isteri; jangan sesekali ajar suami. Apatah lagi merendah-rendah dia.
Seorang isteri yang bijak, dia pandai gunakan psikologi lelaki.
Dia tahu cara nak “manipulate” suami supaya jadi lelaki yang lebih kuat, lebih bertanggungjawab, dan lebih bersemangat untuk berjuang demi isteri yang dia sayang.
Lelaki ni, kalau dia rasa dihargai dan diangkat sebagai hero oleh isteri, dia sanggup buat apa saja.
Bahkan dia sanggup pertaruhkan nyawa demi isteri yang dia cintai.
Sebab tu kalau isteri suruh suami itu ini, arahkan, atau betulkan dia secara langsung, suami akan rasa tercabar. Dia bukan lagi hero pada pandangan isteri dia.
Lebih baik isteri minta pendapat dan minta pertolongan suami. Biar suami rasa dialah hero yang menyelamatkan keadaan.
Angkatlah suami sebagai hero
Katakan isteri baca buku kewangan yang bagus, dan dia nak suami pun baca buku iu. Kalau isteri cakap:
“Abang kena baca buku ni. Barulah Abang bebas hutang.”
Ayat macam tu mencabar ego suami. Dia akan rasa isteri dia nak mengajar dan memperkecilkan kebijaksanaan dia urus duit.
Tapi kalau isteri tukar cara cakap:
“Bang, saya baca buku ni nampak menarik. Saya nak minta pendapat Abang, sesuai tak ilmu yang diajar dalam buku ni untuk bebas hutang?”
Ayat ini akan buat suami rasa dialah hero. Dialah penyelamat yang akan pastikan isteri dia tak ikut ajaran yang salah.
Komunikasi berbeza, respon berbeza
Komunikasi yang baik boleh mengubah banyak perkara.
Kadang-kadang bukan apa yang kita cakap, tapi cara kita cakap itulah yang membezakannya - bagaimana penerimaan dan respon pasangan kita terhadap apa yang kita harapkan.
Angkatlah suami sebagai hero. InsyaAllah, bila suami rasa dihormati, dia sendiri akan jadi lebih bertanggungjawab, lebih kuat, dan lebih bersemangat untuk membahagiakan isterinya.
"Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.
Maka perempuan-perempuan yang solehah itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya..."
Zulkifli
Cyberjaya
15 Januari 2025
15 Rejab 1446H
Artikel berkaitan:
- Pupuk Keserasian Suami Isteri Dengan Pujian dan Penghargaan
- Suami Isteri Berbeza Bukan Kekurangan, Tapi Saling Melengkapi
- Dalam Rumahtangga, Bukan Tentang Siapa Betul Siapa Salah
- Mengada-ngada : Bahasa Cinta Yang Menyuburkan Rumahtangga
- Cinta Itu Membebaskan, Bukan Mengongkong
- Peluklah Anak-anak, Itu Bahasa Cinta Tanpa Perlu Berkata-kata

