3 Nasihat Kewangan Graduan Baru

by on June 25, 2013

Post image for 3 Nasihat Kewangan Graduan Baru

Kekadang saya rasa bersalah bila adik-adik yang baru bekerja terlalu mengharap keuntungan pelaburan emas dengan modal tak seberapa. Setakat 2, 3 keping coin 1 Dinar, berapa sangatlah untungnya. Kalaulah sekeping 1 dinar boleh dapat untung RM100 setahun, untungnya baru RM300 setahun atau RM25 sebulan! Sedangkan banyak lagi ‘ruang’ yang adik-adik ni kena explore untuk gandakan kekayaan.

Walaupun macam tu, saya bangga student universiti / kolej dan fresh grad lagi dah ada kesedaran menyimpan dan melabur. Ia perkembangan yang baik berbanding zaman saya di universiti dulu. Tapi sebelum melabur dalam emas atau apa-apa pelaburan sekalipun, ada 3 nasihat penting untuk graduan baru tentang kewangan:

Nasihat #1 : Perbanyakkan Simpanan

Orang baru bekerja ni kena perbanyakkan simpanan. Jangan gopoh beli kereta selagi belum benar-benar perlu, dan tak perlu gopoh beli rumah impian selagi kewangan belum kukuh. Fokus bina kekayaan dulu. Ini bukan lagi masa untuk berjoli dan bergaya. Bila dapat gaji, potong duit siap-siap masukkan dalam tabung simpanan, bukan tunggu ada duit lebih baru menyimpan sebagaimana saya terangkan dalam artikel “7 Prinsip Penting Menyimpan Wang“.

Kalau sekarang gaji RM2,000 tak ada duit lebih, tengok nanti gaji dah RM5,000 sebulan pun still tak akan ada duit lebih. Kalau tunggu duit lebih baru menyimpan, alamatnya sampai bila pun tak akan menyimpan. So, bila dapat gaji, potong siap-siap duit tu masuk dalam simpanan. Selebihnya baru buat belanja.

Berapa banyak kena menyimpan? Simpan sebanyak mungkin sebab ada banyak belanja yang bakal anda tanggung. Ikut kira-kira saya, graduan baru perlu at least RM30,000 untuk kos memulakan hidup pada 2 atau 3 tahun pertama, antaranya:

  • Bertunang
  • Kahwin
  • Beli Kereta
  • Masuk rumah – banyak barang rumah kena beli
  • Sambut baby baru
  • Langsai pinjaman PTPTN

Nasihat #2 : Baca Buku Kewangan Peribadi

Beli dan baca buku-buku kewangan. Antara yang saya rasa terbaik untuk bermula iaitu (1) Jutawan Dari Planet Jupiter – Azizi Ali, dan (2) Petunjuk Jalan Kekayaan – Chef Li. Kedua-dua buku ni ‘membuka mata’ dan memberi impak yang besar terhadap kewangan saya. Buku tu penting supaya dapat ilmu yang betul dalam mengurus kewangan dan mencari kekayaan.

Buku Petunjuk Jalan Kakayaan Jutawan Planet Jupiter

Sebelum anda labur duit sana sini mengharapkan keuntungan besar, saya rasa labur duit beli buku-buku kewangan jauh lebih untung.

Nasihat #3 : Explore Peluang Perniagaan

Badan kuat, masa banyak, komitmen pun belum ada. Rugilah kalau sekadar tunggu naik gaji akhir tahun yang beberapa ratus tu. Jangan biarkan majikan yang meletakkan harga kita, tapi biar kita sendiri tentukan berapa kita patut dibayar.

So, manfaatkan waktu berharga tu untuk explore peluang-peluang perniagaan supaya anda dapat tentukan sendiri berapa banyak income yang anda nak, bukan sekadar tunggu kenaikan gaji akhir tahun. Saya percaya, potensi sebenar kita jauh lebih mahal daripada harga yang diletakkan oleh majikan. Tinggal lagi, kita kena explore dan bangunkan potensi diri kita sebenar.

Kenapa saya syorkan bisnes? Sebab komitmen kewangan graduan baru terlalu besar, sedangkan kenaikan gaji langsung tak sepadan dengan kenaikan kos sara hidup orang yang baru berkeluarga. Gaji naik RM150 – RM200 setahun, sedangkan dalam tahun sama, bertambah 2, 3 bebanan kewangan baru – dapat isteri, dapat anak, pindah rumah, dapat anak lagi dsb. Itu belum kira kos yang kerja berjauhan dengan isteri.

Tambah Pendapatan, Bebas Dari Hutang

Samada para graduan ni kena tambah income dengan bisnes sendiri (sebagai side-income), atau biarkan diri tenggelam dalam belengu hutang sepanjang hayat! Saya pilih untuk jadi orang muda yang bebas dari hutang supaya “peace of mind” tapi dalam masa yang sama, “plenty of money”, insyaAllah.

Itulah nasihat serba ringkas saya. Bila duit simpanan dah ‘cukup’, dah terbiasa dengan tabiat kewangan yang betul, side-income pun dah boleh top-up duit gaji, nanti tak perlu risau pasal untung rugi pelaburan tu sebab kita boleh contol kewangan kita sendiri. Bukan sekadar tunggu kenaikan gaji, apatah lagi tunggu untung nasib dalam pelaburan.

Wallahu a’lam.

Zulkifli
Damansara Damai
24 Jun 2013
15 Sya’ban 1434

(Kredit foto : goodhousekeeping)

{ 44 comments… read them below or add one }

1 Mrs Rohana June 25, 2013 at 7:08 am

salam…camna nak beli kedua2 buah buku diatas itu?

Reply

2 Mohd Zulkifli Shafie June 25, 2013 at 8:30 am

Wslm Pn. Rohana,

Buku tu boleh beli di kedai-kedai buku. MPH dan Popular ada rasanya.

Reply

3 Anonymous June 27, 2013 at 9:38 am

Assalamualaikum en zul

saya nak tanya sikit.macam mana saya nak buat averaging untuk rendahkan harga modal pembelian emas saya?contohnya saya beli 20g pada harga tinggi RM3415 dan saya pajak di ar-rahnu.dan sekarang saya guna duit pajak untuk beli 20g lagi pada harga RM2890. Jadi macam mana saya nak buat averaging harga sedangkan saya tak jual kedua2 emas pada masa yang sama dan saya perlu tebus emas yang 20g itu tadi dengan penjualan emas 20g yang baru saya beli itu..Minta pencerahan.Jazakallahukhairan kathira

Reply

4 Mohd Zulkifli Shafie June 27, 2013 at 3:54 pm

Wslm tuan,

Averaging sebenarnya bukan pakai ar-rahnu. Pakai ar-rahnu tu dipanggil manipulasi ar-rahnu. Guna duit ar-rahnu untuk beli lagi emas pada harga murah. Bila harga emas naik, jual emas yang beli dengan duit ar-rahnu tu, dan tebus balik emas tu.

Averaging ni tuan pakai duit tunai yang lain. Katakanlah dulu tuan beli 20g RM4,000, kemudian dia turun kepada RM2,000. Masa tu tuan beli pada harga RM2,000. Maka average cost emas yang tuan pengang sekarang ialah RM3,000 setiap keping.

Wallahu a’lam.

Reply

5 Anonymous June 27, 2013 at 6:05 pm

Terima kasih atas tunjuk ajar tuan zul. Mohon bertanya lagi,apa yang seharusnya saya buat jika saya pajak emas 2 bulan lepas(harga emas itu tinggi ketika saya beli) dan saya gunakan duit itu untuk membeli emas lagi.Sekarang ini harga emas sangat2 rendah, jadi patutkah saya pajak lagi emas yang saya ada sekarang untuk kali kedua ketika harga emas rendah?kalau macam itu, apa langkah untuk saya tebus emas saya yang pertama kali saya pajak? Jazakallahukhairankathira. Semoga ALLAH memberi rezeki yang luas dan berkat untuk Tuan Zul.

Reply

6 Mohd Zulkifli Shafie June 28, 2013 at 6:31 am

Wslm,

Saya tak syorkan pajak kali ke-2 sebab agak berisiko. Untuk emas yang beli dengan duit pajak, memang kena cari duit lain untuk bayar atau jual emas tu walaupun rugi (dan top-up dengan duit lain). Bila harga turun macam ni, biasanya dia akan ambil masa untuk naik.

Wallahu a’lam.

Reply

7 mie July 24, 2013 at 12:56 pm

salam..
izin beri pendapat, tn anon dah pajak emas 1st time, untuk kali ni, pajak lagi emas yang ditangan, duit hasil pinjaman pajakan 2nd time ini tadi, gunakan untuk tebus dahulu emas awal2 2 bulan lepas.. sekurang nya, dapat kurangkan nilai hutang sedia ada dan upah simpan terdahulu..

jika ada duit ditangan tebus je la sedikit demi sedikit, itu lebih utama. arrahnu hanya membuat hutang, lebih sesuai untuk mereka yang ada perniagaan.

Reply

8 Anonymous July 5, 2013 at 4:15 pm

Salam.. Minta pandangan berkenaan silver.. Adakah silver bagus untuk dilaburkan?

http://atomwrote.blogspot.com

Reply

9 Mohd Zulkifli Shafie July 5, 2013 at 4:22 pm

Wslm tuan,

Ini saya bagi 4 tips pantas tentang silver:

(1) Harga silver lebih volatile (tak stabil)

Dari sudut pergerakan harga, bila emas naik, silver akan naik 2, 3 kali ganda lebih banyak daripada emas. Bila turun pun sama. Tahun 2010 – 2011, silver naik 100%. Masa tu ramai orang beli silver. Lepas tu dia jatuh balik 50%.

(2) Potensi lebih besar

Dari sudut potensi kenaikan, pakar precious metal meramalkan silver akan jadi “gold in future”. Maksudnya, peratusan kenaikan dia akan jauh menandingi emas. Ini disebabkan silver diperlukan untuk industri, sedangkan dah tak ada lombong silver, dan silver biasanya terbuang (dalam alat elektronik) tanpa di recycle sebagaimana emas sebab kosnya yang tak bebaloi.

Kedua, nisbah emas : silver sekarang ni sekitar 1 : 65. Satu Oz emas boleh beli 65 oz silver. Nisbah ini dijangka naik kepada 1 : 16 sebagaimana sebelum tahun 1980 dulu.

(3) Silver lebih rendah kecairan

Silver lebih rendah kecairan berbanding emas. Maksudnya, bila nak jual, tak banyak tempat sanggup beli silver kecuali pengeluarnya sendiri. Kalau emas, kita boleh jual di mana-mana kedai emas seluruh dunia pada bila-bila masa.

Silver tak boleh dipajak sebagaimana emas. Setakat ni, cuma Ar-Rahnu Koperasi Dagangan Emas (KDE) di Penang jer yang terima pajak silver, itu pun silver keluaran Public Gold sahaja.

(4) Penyimpanan lebih susah

Silver ni berat. Dari sudut penyimpanan agak susuh berbanding emas. Kalau sewa Safe Deposit Box, memang cepat la penuh box tu. Kena sewa Safe Box yang besar baru sesuai untuk simpan silver.

Dari sudut simpanan saya syorkan simpan emas dulu. Ada balance baru beli silver. Saya simpan 70% emas, 30% silver.

Wallahu a’lam.

Reply

10 Md Azri Norazman September 12, 2013 at 1:49 pm

Assalamualaikum,

Saya merupakan pelatih tajaan kkm di Kolej Kesihatan Awam Kuching dan selama saya membaca penulisan dari website tuan telah menyedarkan saya bagaimana untuk mengurus kewangan dengan disiplin yang baik. Pengalaman tuan memberi iktibar kepada saya khususnya akan bekerja dalam dua tahun akan datang. Selama menjadi seorang pelatih, saya dimanjakan dengan duit elaun yang tidak seberapa dan sebelum akhir bulan duit elaun tersebut akan habis tanpa disedari. Motivasi dan Pengalaman tuan akan saya jadikan iktibar sebaik mungkin dalam menempuh alam pekerjaan akan datang. Insya-Allah , saya akan menetapkan Matlamat saya untuk menjadi jutawan muda. ” Biar ada kesederhanaan , biar tidak bergaya mahupun dipandangan manusia, asalkan hidup bahgia”

Reply

11 Mohd Zulkifli Shafie September 12, 2013 at 6:33 pm

Wslm En. Azri,

Alhamdulillah, puji-pujian bagi Allah. Syukur sebab Allah bagi kesedaran kepada En. Azri sebelum memulakan kerjaya lagi. Tahniah sebab dah menanam azam. Usahakan dengan betul dan sabar, pasti Allah akan makbulkan azam tersebut. Besar kuasa azam tu. Banyak perkara yang saya azam dulu, akhir sekali Allah realisasi azam tersebut lepas berusaha dengan sabar. Alhamdulillah. Moga Allah permudahkan En. Azri capai cita-cita. Amiin.

Reply

12 Nasrul November 1, 2013 at 10:49 pm

Assalamualaikum saudara Zul.
Saya sbnarnya dah banyak membaca entri2 saudara dlm blog ni sampaikan beberapa entri saya save dalam aplikasi pocket dlm smarphone untuk rujukan. Apa yg menarik bukan shj entri2 saudara, malah komen2 pengunjung serta komen balas saudara yg menarik. Saya graduan agak baru menamatkan pengajian 3-4 bulan lepas dan mendapat pekerjaan 1 1/2 bulan lepas dgn gaji kasar cuma RM1700 (tak termasuk tolakan EPF) walaupun xsepadan dgn kelayakan ijazah sy. Btw sy masih bersyukur kerana dapat jimatkan wang dgn tinggal bersama keluarga serta menaiki motosikal ulang alik dr KL- Kelana Jaya ke tempat kerja. Tambahan pula dgn gaji xseberapa, sy mampu menyimpan RM500 ke tabung haji serta memberi wang kpd ibu ayah setiap bulan mulai bulan 10. Hrp komitmen saya berterusan Insya-Allah. Saya mahu bertanya pd saudara, sbg graduan baru, berusia dlm 23 thn, apa perancangan pelaburan yg lebih sesuai dgn pendapatan saya dan sikap sy yg suka menabung sejak belajar di universiti serta kedekut sikit nk beli barang2 tertentu.. hehe… adakah dgn menyimpan scr konsisten dlm tabung haji sudah cukup, atau mencari alternatif spt pelaburan emas/perak/unit trust dsb? dan bila masa sesuai untuk melabur hartanah? Terima Kasih

Reply

13 Mohd Zulkifli Shafie November 2, 2013 at 9:31 am

Wslm En. Nasrul,

Alhamdulillah, terima kasih berziarah ke blog saya. Moga ianya bermanfaat, insyaAllah.

Bagus tu dah ada sikap menabung. Saya syorkan En. Nasrul simpan sekeping emas 1 dinar sebab orang simpan emas dia ada motivasi yang lebih kuat untuk menyimpan dan mengumpul harta. Duit yang dibiarkan dalam akaun bank sangat berisiko dari dibelanjakan terutamanya bila kita terdesak (walalupun pada hakikatnya belum terdesak).

Umur muda macma En. Nasrul dah boleh start explore pelaburan hartanah. Target beli rumah apartment untuk disewakan, bukan untuk duduk sendiri. Tapi sebelum melabur hartanah, banyak baca buku tentang hartanah terutamanya buku tulisan Azizi Ali seperti “Jutawan Hartanah” dan “Tuan Rumah Jutawan”. En. Nasrul boleh juga explore blog sahabat saya http://www.tuanbri.com. Beliau sangat berpengalaman dalam hartanah dan banyak anjurkan seminar tentang hartanah.

Sebelum labur duit sana sini, laburkan dulu dalam ilmu.

Wallahu a’lam.

Reply

14 Anonymous90 December 28, 2013 at 12:39 pm

Assalamualaikum En. Zul..

Saya merupakan seorang graduan yang akan memulakan kerja pada tahun 2014 dan akan bekerja dengan gaji basic rm2000 sebagai permulaan… Saya telah membaca maklumat dari blog En. Zul dan beberapa blog mengenai cara terbaik untuk menyimpan dan memulakan hidup bagi graduan sebagai persediaan dan telah memikirkan bajet untuk perbelanjaan dan simpanan pada tahun depan seperti di bawah.

Perancangan Bulanan
Duit Untuk Ibu Bapa = RM 400
Duit Untuk Simpanan = RM 300
Duit Untuk Pembayaran PTPTN = RM 300/month
Duit Untuk Perbelanjaan Sendiri = RM 700

Total = RM 1700

Namun saya masih memikirkan masih adakah ruang atau peluang untuk saya menambah hasil simpanan saya melalui cara2 lain spt pelaburan @penjimatan. Harap En. Zul dan yang lain dapat memberikan sedikit pencerahan…

Reply

15 Mohd Zulkifli Shafie December 28, 2013 at 8:26 pm

Wslm,

Ikut pada perkiraan saya, graduan baru perlukan at least RM30,000 dalam tempoh 3 tahun pertama untuk:

(a) perkahwinan
(b) deposit kereta
(c) masuk rumah baru (sewa)
(d) sambut kelahiran baru

Itu belum kira duit untuk full-settlement loan. Berdasarkan kira-kira yang saya buat, graduan baru perlu menyimpan at least RM1,000 sebulan untuk penuhi keperluan 3 tahun pertama. Kalau tak, nanti perlu berhutang “sepanjang hayat”. Jadi, saya syorkan potong RM1,000 sebulan untuk simpanan, dah gunakan selebihnya samada untuk bayar PTPTN, untuk duit poket, untuk bagi ibubapa dsb.

Bagi saya, lebih baik ‘ikat perut’ masa bujang berbanding ‘ikat perut’ anak isteri nanti. :)

Wallahu a’lam.

Reply

16 Nora January 1, 2014 at 2:20 pm

Assalamualaikum. Saya nak tanya pendapat encik. Saya graduan yg baru sahaja menamatkan pengajian dan akan bekerja di Shah Alam (Proton) tidak lama lagi. Bekerja di Shah Alam memaksa saya untuk membeli kereta memandangkan kawasan tersebut jarang ada public transport dan kos menaiki teksi juga agak mahal. Inshaa Allah gaji yg saya akan dapat ialah 2400 (setelah ditolak epf, cukai etc). Saya juga perlu menyimpan duit utk perkahwinan. Jadi perlukah saya membeli kereta? Jika perlu, kereta secondhand atau kereta baru? Saya takut tersalah membuat pilihan.

Reply

17 Mohd Zulkifli Shafie January 7, 2014 at 1:47 am

Wslm Cik Nora,

1. Graduan baru perlukan at least RM30,000 untuk tempoh 3 tahun pertama memulakan kerjaya. Kos tu termasuk kos perkahwinan sederhana. Maksudnya, graduan baru perlu menyimpan at least RM1,000 sebulan. Selebihnya baru boleh belanja. Kalau tak nanti terpaksa menanggung hutang sepanjang hayat.

2. Bila simpan RM1,000, maksudnya Cik Nora cuma boleh belanjakan RM1,400 sebulan untuk keperluan. Kalau kereta tu benar-benar keperluan, ansuran kereta kena potong dari RM1,400 tu. Dan kena simpan at least RM200 sebulan untuk road tax & insuran, dan maintenance kereta. Jadi Cik Nora tinggal lagi RM1,200. Kalau ansuran kereta RM600 sebulan, maksudnya tinggal lagi RM600 untuk sewa rumah, makan minum, minyak kereta, parking, bill telefon & internet dsb. Itu hakikatnya kewangan graduan baru.

3. Bagi saya, kalau boleh tanggunhkan dulu beli kereta pun bagus. Kalau boleh bawa motor, pakai motor jer buat sementara waktu untuk jimatkan kos.

4. Kalau nak beli kereta second hand pun kena hati-hati. Kalau tak pandai pilih, kosnya lebih besar dari kereta baru.

Wallahu a’lam.

Reply

18 siti April 30, 2014 at 11:08 am

assalamualaikum en zul,

informasi yang menarik, dekat bahagian komen sahaja banyak yang saya dapat tahu.terima kasih kerana sudi berkongsi pengetahuan.

bagaimana pula pendapat en zul jika gaji hanyalah RM1500 sebulan? bagaimana untuk manage kewangan dengan jumlah gaji yang agak kecil. terima kasih.semoga en zul sentiasa terus memberikan inspirasi kepada semua orang. :)

Reply

19 Mohd Zulkifli Shafie April 30, 2014 at 11:13 am

Wslm Pn. Siti,

Alhamdulillah. Mudah-mudahan blog ini bermanfaat, insyaAllah.

Kalau gaji kecil, kena uruskan duit tu macam biasa e.g. simpan at least 10% pendapatan, sebab prinsip kewangan tu sama jer. Orang yang income besar belum tentu kaya, dan orang yang gaji kecil boleh hidup lebih senang dari orang yang gaji lebih besar. Kuncinya pada ilmu dan prinsip kewangan yang kita amalkan. Dalam masa saya, mesti cari jalan tingkatkan pendapatan samada cari kerja yang lebih baik atau mulakan bisnes sendiri.

Wallahu a’lam.

Reply

20 Deen Hashim June 11, 2014 at 10:55 pm

Salam Tuan Zul, saya suka baca artikel di blog tuan. Banyak info yang menarik dan dapat membantu banyak pihak dalam pengurusan kewangan ini.

Saya sependapat dengan Tuan Zul, bagi adik-adik yang baru habis belajar dan masuk kedalam dunia pekerjaaan punya peluang yang sangat luas dan masih belum terjerat dengan hutang yang besar. Badan masih muda maka perlu bekerja lebih kuat lagi untuk membina kekayaan. Tetapi awas,…jangan tertipu dan terjerat dengan pihak penyedia kredit seperti kad kredit dan bayaran ansuran mudah…pakai dulu bayar kemudian kerana dgn konsep hutang beginilah ramai graduan muda terjerat dan terjerumus dengan masalah kewangan yang kritikal.

Seperti yang Tuan Zul sarankan, setiap graduan perlu mula biasakan SIMPAN DULU BARU BELANJA. Selesaikan dulu hutang sedia ada sebelum buat macam-macam hutang lain. Dan paling penting buat bajet bulanan dan rekodkan setiap perbelanjaan harian.

Sekadar berkongsi pendapat..:)

Reply

21 Mohd Zulkifli Shafie June 12, 2014 at 8:20 am

Wslm En. Deen,

Alhamdulillah. Tq berziarah ke blog ni. Mudah-mudahan bermanfaat.

Terima kasih atas perkongsian pendapat tuan yang bermanfaat untuk graduan baru. Saya doakan Allah merahmati tuan sekeluarga.

Reply

22 delaila September 13, 2014 at 9:28 pm

Assalamualaikum WRT…

Alhamdulillah dan tahniah En. Zul atas blog yang sangat bermanfaat ini. Melalui pembacaan saya dalam blog ini telah membuka mata saya mengenai pengurusan kewangan.

Memandangkan saya masih baru masuk dalam dunia pekerjaan lebih kurang 2 bulan lebih dan yang paling bagusnya saya masih belum merasai gaji pertama saya. Oleh itu, saya berusaha utk mencari jalan pengurusan kewangan yang terbaik sebelum gaji saya benar2 akan diperolehi nanti InsyaAllah akhir September ini.

Oleh itu, saya ingin minta pendapat saudara..
saya bujang dan berumur 24 tahun dan bebas drp sebarang hutang mahupun kereta atau hutang belajar. InsyaAllah gaji yg akan sy perolehi setelah tolak EPF anggaran rm2500. saya juga tinggal bersama kedua orang tua saya.

saya bersetuju dgn cadangan saudara utk graduan baru spt saya utk mula menyimpan sebanyak RM30k untuk keperluan yang akan datang. Namun, apa yang merunsingkan saya ialah perancangan utama saya setelah bekerja ialah untutk menyambung pelajaran di peringkat master selama setahun di united kingdom. Saya merancang untuk menyambung pada tahun 2015 atau 2016.

Jadinya, bagaimana ya pengurusan kewangan saya di sini bagi pendapat pihak saudara? bagaimana saya hendak menyimpan utk pembelajaran sy dan lain2 seperti simpanan beli rumah, simpanan tabung haji dan kedua ibubapa saya. perkahwinan masih belum lagi menjadi perancangan utama buat masa ini. harap saudara boleh membantu saya memberi cadangan yang bernas.

Terima kasih ^_^

Reply

23 Mohd Zulkifli Shafie September 13, 2014 at 11:58 pm

Wslm Cik Dalila,

Saranan saya dalam artikel ni ialah secara umum. Secara khususnya, Cik Dalila kena match dengan keperluan sebenar kewangan sendiri.

Reply

24 delaila September 26, 2014 at 6:11 pm

Terima kasih ya atas respon. Tapi maaf sy kurang faham.. match dgn keprluan diri sendiri itu mcm mana ye? Boleh berikn penjelasan lebih lanjut?

Reply

25 Mohd Zulkifli Shafie September 27, 2014 at 6:59 am

Simpan duit sebanyak mungkin. Gunakan duit hanya betul-betul untuk keperluan. Itu jer asasnya.

Reply

26 cik November 9, 2014 at 3:53 pm

Salam en.zulkifli,
Sy sudah 2 tahun bekerja. Mempunyai simpanan sebanyak 9k. Hutang ptptn 21k(masih belum start byr),bercadang mula byr ikut jadual pada jan2015. Gaji kasar 2k.
Buat masa sekarang kereta bkn merupakan keperluan bgi sy kerana sy berkongsi kereta dgn adik utk ulang alik dri tmpt kerja. Sy hnya membayar belanja myk dan kekadang duit bulanan kereta(jarang2 sekali).
Adik sy bakal berkahwin pertengahan tahun depan, sy bkal memerlukan kereta. Pada pendapat en. perlukah sy membeli kereta sekarang atau ketika sy betul2 memerlukan(thun hdapan,selepas adik khwin). Sy menjadi runsing kerana terdengar ura2 harga kereta bakal melambung tinggi selepas april2015 gara2 gst. Pada pendapat en. perlukah sy membeli kereta sblum gst atau selepas gst? Dan kereta local 1st hnd atau kereta luar 2nd hand lebih baik.
Amat menghargai juga kiranya en. sudi berkongsi dlm cara utk sy mengembangkan duit simpanan sy.
Terima kasih.

Reply

27 Mohd Zulkifli Shafie November 10, 2014 at 7:08 am

Wslm Cik,

Saya tak pasti tentang kesan sebenar GST kepada harga kereta. Saya prefer kereta imported sebab lebih berkualiti. Ia jimat dalam jangka panjang. Dan semestinya dalan prefer kereta second hand sebab lebih murah. Kewangan saya, saya fokus untuk kembangkan kekayaan dulu. InsyaAllah.

Reply

28 Kewangan Graduan April 5, 2015 at 5:51 pm

Dan yg paling penting jgn masuk skim cepat kaya

Reply

29 salindah September 6, 2015 at 9:57 am

Terima kasih atas perkongsian tip yang berguna ini.

Reply

30 Mohd Zulkifli Shafie September 7, 2015 at 7:10 am

Sama-sama. Alhamdulillah.

Reply

31 ahmad November 24, 2015 at 8:26 pm

Slm Abg zul..sy dh lame follow blog abe…mse blaja u..n skrg dh abis terus sy keje.dh 3 bln dh..mse kt u sy dpt gk saving..sebab smgt tgk blog abe…..tq byk2 bgi sy inspirasi…skrg nk cri rumah2 kos rendah bt aset…ade x saluran2 utk dpt rumah selain Dr lelong…kalu xde bleh kongsi2 abe.

Reply

32 Mohd Zulkifli Shafie November 24, 2015 at 8:47 pm

Wslm En. Ahmad,

MasyaAllah. Alhamdulillah.

Boleh semak iklan-iklan di http://www.mudah.my je. Banyak iklan jual rumah di situ. :)

Reply

33 ahmad November 24, 2015 at 10:06 pm

OK..tq abe zul… alhamdulillah byk jgk sy blja dr blog nieee.. ade jgk guide utk sy…..sebagai freshgraduan… pkai moto n jgn ambil kete lgi…

Reply

34 Mohd Zulkifli Shafie November 25, 2015 at 6:57 am

Sama-sama En. Ahmad.

Alhamdulillah. Mudah-mudahan blog ini bermanfaat, insyaAllah.

Reply

35 haniz December 30, 2015 at 3:36 pm

Assalammualaikum tuan. Hati saya rasa sangat sakit hati mengenai hutang yang terpaksa ditanggung selepas tamat belajar di salah sebuah kolej swasta. Saya juga tidak mendapat kerja yang diingini dan bekerja sebagai kerani kontrak sahaja dengan gaji rm1200 sebulan di kl. Gaji yang ada tidak cukup untuk menampung kos kehidupan di kl. Ayah baru bersara dengan gaji yang agak lumayan. Jadi gara2 tertekan dengan kehidupan di kl, saya selalu meminta tolong ayah membayarkan baki pinjaman tersebut, sebelum ini saya ada membayar wang pinjaman pelajaran tersebut walaupun sedikit, tetapi kerana tertekan dengan kos hidup yang mahal saya terpaksa menyuruh ayah sahaja yang membayarnya. Saya rasa bersalah, tetapi pada masa sama ingin menyimpan wang yang ada untuk terus survive. Apa yang patut saya lakukan?

Reply

36 Mohd Zulkifli Shafie January 4, 2016 at 6:36 am

Wslm En. Haniz,

Tak ada jalan lain, kena tingkatkan pendapatan.Cari kerja yang boleh dapat gaji lebih baik atau mulakan bisnes sendiri secara sampingan. Tak ada short cut.

Reply

37 Puan Hasnah December 30, 2015 at 5:19 pm

Salam Encik Zulkifli .
Saya seorang pelajar yg masih menuntut di sebuah ipta . Saya mohon tuan berikan saya beberapa cadangan berkaitan dengan soalan saya .
1. Saya ingin memulakan beli emas dan silver bar dengan bajet yg kecil . Saya teringin beli emas 1g dan silver bar 100g setiap bulan sebagai simpanan masa depan saya . Adakah perancangan saya ini terlalu awal untuk beli emas ?
Atau pun saya kumpulkan duit yg cukup untuk beli 1 / 2 dinar sebagai permulaan menyimpan ?

2. Boleh tuan bagi saya apa2 cadangan ? Sebab niat saya mahu menyimpan emas , silver bar dan dinar sebagai simpanan jangka panjang dan saya rasa selamat untuk membeli dan menyimpan emas daripada simpan duit kertas di bank kerana nilai matawang negara pun semakin jatuh .

Reply

38 Mohd Zulkifli Shafie January 4, 2016 at 6:40 am

Wslm puan,

Saya syorkan puan beli 1 gram setiap bulan mengikut kaedah akaun emas GAP. Harganya lebih murah. Maklumat lanjut boleh baca di http://www.bit.ly/beliemasgap . Untuk silver tu, sekarang item paling kecil yang Public Gold ada, cuma silver bar 250 gram. Silver bar 100 gram dah tak dikeluarkan lagi.

Apa-apa persolan, puan boleh terus wassap saya 019-336 8009. InsyaAllah saya boleh guide cara yang terbaik mengikut bajet puan.

Reply

39 Laila August 19, 2016 at 6:14 pm

Assalammualaikum.. encik zulkifli shafie, saya rasa runsing dan hampir putus asa memikirkan hutang yang perlu di tanggung oleh saya dan suami. Kami sama-sama berkerja juga tinggal di kawasan bandar yang memang memerlukan banyak perbelanjaan serta kami mempunyai 5 cahaya mata di mana kami menghantar mereka di rumah pengasuh ketika kami berkerja.

Dahulu suami saya berniaga selama 5 tahun dengan pendapatan yang mencukupi tapi sejak kegawatan ekonomi dan pendapatan perniagaan semakin teruk kami terpaksa berhenti kerna kekurangan modal untuk terus bertahan dalam perniagaan maka suami saya mengambil keputusan mencari perkerjaan.

Pendapatan yang kami peroleh rm6500 (suami isteri) tidak mencukupi untuk membayar segala hutang dan setiap bulan kami terpaksa merancang setiap pengeluaran kewangan.

Perancangan kewangan yang kami tanggung adalah perbelanjaan harian(rm1500), pengasuh & transport (rm1200), pinjaman perniagaan ( rm800), pinjaman perniagaan ( rm480), personal loan(rm650), personal loan (rm400), rumah (rm800), kereta (rm400)yang akan habis tahun depan dan bil-bil utilities (rm200), kredit kad(rm600)… insurans anak(rm350)
Asb loan (rm300)

Ini yang kami terpaksa tanggung sekarang dan perlu jelaskan setiap bulan dimana saya sendiri & suami runsing memikirkannya… saya ada mencadang untuk refinance rumah kami yang anggaran dlm rm300k untuk membayar segala hutang ini serta mengurangkan pembayaran setiap bulan dan membuat lebih simpanan serta membuat asb loan utk 5tahun tujuan membeli rumah kedua iaitu rumah teres kerana rumah kami skrg hanya ada 3bilik sj dan kami juga bercadang untuk membayar separuh loan rumah yang kami refinance. Anggaran yang perlu kami tanggung bagi refinance home adalah rm2000.Adakah wajar tindakan kami untuk refinance rumah kami?

Saya memerlukan pendapatan tuan untuk mendapatkan lagi pencerahan kewangan saya ini.

Untuk pengetahuan tuan sy juga ada membaca buku tentang kewangan dan membaca blog tuan.

Sekian, terima kasih

Reply

40 Mohd Zulkifli Shafie August 20, 2016 at 5:57 am

Wslm Pn. Laila,

1. Saya cadangkan puan fokus selesaikan masalah satu-satu. Fokus utama sepatutnya kurangkan komitmen hutang setiap bulan, jangan jangan jangan fikir nak beli rumah kedua lagi. Selesaikan satu-satu.

2. Saya tak berapa pasti kedudukan sebenar kewangan puan. Tetapi antara yang mungkin boleh saya syorkan ialah jual sahaja rumah tu dan langsaikan kesemua hutang-hutang yang ada. Duduk menyewa sahaja dulu tak ada masalah. Secara fizikalnya, rumah yang disewa dan dibeli sama sahaja.

3. Lagi, puan cuba buat kira-kira, berapa banyak kos yang puan boleh jimat jika puan berhenti kerja dan jaga anak-anak sahaja di rumah berbanding pendapatan puan pergi kerja. Mungkin banyak kos yang boleh jimat e.g. kos nuseri, kos transport pergi kerja, kos makan-minum dsb. Buat kira-kira dan bandingkan.

4. Kalau puan berhenti kerja, cari jalan supaya dapat jana pendapatan tambahan dari rumah e.g. buat nasi lemak dan suami bawa jual dipejabat dsb.

5. ASB loan tu bagi saya tak perlu ambil. Jangan tambah penyakit yang sedia ada. Fokus langsaikan hutang dan kurangkan komitmen bulanan sahaja supaya puan dan suami dapat bernafas lega setiap bulan.

Wallahu a’lam.

Reply

41 Laila August 31, 2016 at 12:36 pm

Assalammualaikum…

Terima kasih Tuan di atas penerangan. Saya ada lagi kerunsingan, suami saya ingin berniaga semula tapi kekurangan modal. Saya hanya fikir satu cara sj dengan membuat overlap personal loan sy skrg dimana tempohnya 17thn. Jika sy membuatnya sy dpt memendekkan tempoh bayaran kepada 10thn & menyelesaikan credit card sy serta dapat lebihan wang rm50k dr jumlah overlap loan tu & kami memcadang 10% untuk modal perniagaan selebihnya di simpan dalam asb. Di kira hutang yg saya tanggung untuk personal loan & kad kredit adalah sama jumlah dengan overlap loan ini. Kami pun hendak berhenti menggunakan kad kredit hny digunakan utk membayar insurans sj.Suami sy tidak dapat membuat loan kerna baru saja berkerja.

Adakah wajar kami memulakan perniagaan dengan ekonomi skrg ini? Betul ke tindakan saya ini untuk membuat overlap loan?

Lagi satu kami ada membuat insurans untuk anak-anak kami & insurans ini merangkumi personal accident, penyakit kritikal, pelaburan & simpanan. Namun tidak ada untuk medical card hospital. Kami membayar rm130 untuk insurans setiap anak. Adakah insurans ini berbaloi utk ank kami?Company saya menyediakan rm1800 peryear utk family (klinik & hospital) namun dr jmlh itu telah di tolak rm900 untuk hospitalized dimana setiap ahli keluarga akan dilindungi sebanyak rm20k setahun tanpa mengira berapa ahli keluarga. Adakah kami perlu membantalkan rm900 ini? Seterusnya mengambil insurans lain untuk hospitalized dimana bayarannya adalah rm200 setiap org & jumlah pelindungan sebanyak rm120k setahun jika berlaku sesuatu pada ahli? Suami saya belum lagi ada apa-apa insurans.

Jika Tuan ada cadangan insurans yang sesuai utk 1 family(7 org) dapat sekiranya Tuan berkongsi pada kami. Kami ingin insurans yang dapat melindungi kami sekeluarga & berbaloi dalam perlindungan jika berlaku sebarang perkara yang tidak di ingini serta mudah dalam urusan.
Saya ingin tahu berapa kos pendidikan anak untuk masa depan yang perlu ibu bapa bersiap sedia?

Terima kasih.. berharap Tuan dapat memberi lagi penerangan terhadap permasalahan kami ini…

Sekian terima kasih..

Reply

42 Mohd Zulkifli Shafie September 1, 2016 at 6:16 am

Wslm Pn. Laila,

1. Berniaga tak perlu guna pinjaman. Mulakan dengan apa yang ada di tangan dulu. Belajar dulu kembangkan modal dari RM1000 kepada 10,000 dulu. Kalau itu belum mampu dilakukan, saya boleh katakan duit pinjaman tu bakal hangus dan tambah lagi satu masalah kewangan.

2. Tak perlu ambil hutang baru untuk tutup hutang lama, itu tak menyelesaikan masalah kewangan sebenar, bahkan ia tambah lagi satu penyakit kewangan.

3. Ambil insuran 100% untuk protection. Jangan buang duit untuk melabur & simpan dalam insuran. Fungsi insuran ialah protection, bukan saving atau investment.

4. Saya tak tahu keperluan insuran puan sekeluarga, tapi keutamaan coverage sepatutnya untuk ibu bapa / penjaga dulu. Kalau dah cukup cover, baru ambil yang anak-anak.

5. Saya tak tahu berapa kos pendidikan masa depan.

Wallahu a’lam.

Reply

43 Maurice February 12, 2017 at 6:19 pm

Hi saudara.. Sy ada pertanyaan.. Patutkah / berbaloikah jika kita mmbuat Personal Loan utk membeli tanah? Sy pnjawat awam yg baru 1 tahun bkerja. Huhu. Jika free, replylah yaa…

Reply

44 Mohd Zulkifli Shafie February 15, 2017 at 9:20 am

Hi En. Maurice,

Saya tak pasti. Ia bergantung kepada matlamat dan strategi En. Maurice untuk memanfaatkan tanah tu nanti. Kalau tak pasti, lebih baik tak perlu ambil personal loan. Kumpul je duit duit. Loan tentu kena bayar, hasil belum tentu dapat.

Reply

Leave a Comment

Previous post:

Next post: