“Salam,
Kak Ros (bukan nama sebenar) nak tanya sesuatu..
Zul dah berkeluarga sama macam Kak Ros. Ada anak-anak. Ada kerjaya sama macam Kak Ros. Pada pendapat Zul mana yang lebih baik untuk muslimat? Kerja opis ker cikgu?
Kalau ader masa Zul tolong jawab yer.. Terima kasih..”
Pertanyaan daripada seorang kakak melalui email yang saya tukar nama sebenarnya.
Di bawah ni respond saya kepada beliau. Repond ini berdasarkan pembacaan dan pemerhatian saya, juga sebagai peringatan kepada saya dan isteri.
Ia juga mungkin bermanfaat untuk sahabat pembaca semua.
Pada pendapat saya (berdasarkan sedikit pengetahuan yang ada), salah seorang samada ibu atau bapa mesti ada lebih masa untuk bersama anak-anak.
Sebaik-baiknya ibu la yang kena banyakkan masa bersama anak-anak.
Alasannya, supaya kita boleh “menumpahkan kuah ke nasi”.
Tumpahkan Kuah ke Nasi
Soleh bapa, atau solehahnya ibu tertumpah pada anak-anak. Moga mereka turut menjadi orang yang ‘soleh’ atau ‘solehah’ sebagaimana ibu dan bapanya. InsyaAllah.
Bagi saya, soal “tarbiyyah” dan “kasih-sayang” tak boleh diswastakan.
Maksudnya, ia tak boleh dilepaskan kepada orang lain – pusat asuhan kanak-kanak ataupun pembantu rumah.
Orang lain boleh menjaga, tetapi tak boleh berikan kasih sayang pada anak-anak kita.
Masa = Kasih Sayang
Mungkin agak keterlaluan jika mengatakan mereka cuma mahukan duit kita. Tapi itulah yang apa yang saya rasa.
Isu ini adalah isu yang paling utama yang merisaukan saya sebagai seorang bapa kepada 3 orang anak yang masih kecil sekarang.
Ini kerana, pembentukkan anak-anak berkait rapat dengan perhatian dan kasih sayang.
Bagi anak-anak, LOVE (kasih-sayang) dieja dengan “T-I-M-E”, iaitu masa yang kita berikan untuk mereka.
Isu Akhlak dan Agama (Iman) Si Pengasuh
Soal “kasih sayang” itu satu hal. Satu lagi isu ialah “akhlak dan agama” si pengasuh.
Di KL ni, rasanya agak sukar mendapatkan nuseri yang saya yakin akan akhlak dan agama si pengasuhnya.
Ia sangat penting, kerana akhlak dan agama si pengasuh, pastinya sedikit sebanyak tertumpah pada anak-anak kita.
Saat Kritikal Mendidik Anak-anak
Waktu yang paling baik membentuk anak-anak ialah ketika tapak tangannya lebih kecil dari tapak tangan kita [dipetik dari pesanan ulama, tapi saya lupa namanya], iaitu ketika mereka masih kanak-kanak.
Ketika buluh masih boleh dilentur.
Masalah yang sering berlaku ialah ibubapa terpaksa bertungkus lumus untuk mengukuhkan ekonomi ketika anak-anak masih kecil. Terpaksa kurangkan perhatian terhadap anak-anak yang amat memerlukan perhatian dan kasih sayang.
Bila ekonomi dah kukuh, oh! anak pun dah dewasa (remaja) dan tak memerlukan perhatian kita lagi.
Pada ketika tu, masanya sudah agak terlambat untuk mendidik.
Kasih-sayang di Luar Rumah
Paling bahaya, anak-anak yang bakal menjengah ke alam dewasa ni mula mencari kasih-sayang di luar rumah.
Mereka lebih ‘bahagia’ bersama rakan-rakan, “girlfriend” atau “boyfriend” berbanding bersama ibu dan bapa mereka.
Masalah ni berpunca dari tak lain tak bukan, iaitu gersangnya kasih sayang dalam rumahtangga.
Mereka akan terima sesiapa sahaja yang boleh mengisi kekosongan jiwa mereka. Kalau dapat kawan yang baik, alhamdulillah. Tetapi kebanyakkannya merosakkan mereka.
Jadi Kawan Karib Anak-anak
Jadi, kita sebagai ibubapa kena usaha supaya anak-anak menjadikan kita sebagai rakan karib mereka terutamanya bila mereka mula menjenguk ke alam dewasa.
Ini kerana zaman remaja ialah zaman anak-anak mencari identiti mereka. “Siapa diri mereka”, banyak bergantung kepada “siapa kawan-kawannya”.
Sesiapa sahaja yang boleh beri perhatian, itulah kawan-kawan mereka.
Manusia dan Kasih Sayang
Manusia tak boleh hidup tanpa perhatian dan kasih-sayang, sama seperti memerlukan oksigen untuk hidup.
Bagi anak-anak kecil, mereka rela dimarahi oleh ibubapa demi mendapatkan perhatian. Mereka akan buat apa sahaja asalkan ibubapa ambil perhatian pada mereka.
Sepahkan makanan, sepahkan mainan, baling barang mainan, pukul adik dsb, kerana dengan cara itu, ibubapa pasti beri perhatian pada mereka. (ini dah masuk bab parenting ni…)
Jadi terpulang la pada Kak Ros.
Pada saya, apa pun kerjaya tak kisah. Janji kita dapat beri perhatian secukupnya pada anak-anak.
Kerjaya sebagai Guru (yang berkerja separuh hari) mungkin kerjaya yang agak sesuai untuk seorang ibu mengimbangi antara tuntutan kerjaya dan rumahtangga.
Mohon maaf. Saya bukanlah pandai sangat bab pembentukan anak-anak ni. Saya pun masih belajar. Tapi itulah yang saya tahu setakat pembacaan dan pemerhatian.
Allahu ‘alam.
Zulkifli
Damansara Damai
7 Januari 2008
28 Zulhijjah 1428H
NOTA : Apapun, kita memang tak mampu membentuk anak-anak sebagaimana yang kita impikan kalau hanya bergantung pada usaha lahiriah kita. Namun, ikhtiarlah sebaik mungkin. Tetapi semuanya kena berserah kepada Allah. Perbanyakkanlah doa untuk mereka supaya menjadi orang bertaqwa. Berdoalah dengan doa yang Allah ajarkan kepada kita [Al-Furqaan 25: 74] di waktu yang paling mustajab – ketika sujud dalam solat. InsyaAllah.