Bagaimana Orang Kaya Jadi Kaya?

by on June 9, 2010

Post image for Bagaimana Orang Kaya Jadi Kaya?

Dulu selalu tercari-cari mana tempat nak labur duit kami yang tak seberapa ni. Kalau boleh, nak cari tempat pelaburan yang paling tinggi pulangannya i.e. return on investment (ROI).

Tabung Haji bagi dividen sekitar 5%, ASB yang statusnya ‘halam’ (halal campur haram) ketika itu sekitar 7% (belum tolak zakat 2.5% atas nilai simpanan!), unit trust dividennya pun boleh tahan, tapi tak terjamin seperti Tabung Haji dan ASB. Silap haribulan, duit kita boleh lebur kalau pasaran saham tak stabil.

Fahmi Cara Orang Kaya Jadi Kaya

Bila baca buku-buku orang kaya, antara pelaburan yang agak selamat dan pulangannya ok ialah pelaburan hartanah. Pelaburan hartanah agak selamat (walaupun lambat) sebab nilai hartanah agak stabil, dan hartanya berbentuk REAL – real property. Buku Azizi Ali bertajuk “Jutawan Hartanah”, dan satu lagi bertajuk “Tuan Rumah Jutawan” habis saya baca. Tapi saya belum ‘layak’ untuk pelaburan hartanah, sebab saya belum pun beli rumah sendiri ketika tu. Hasrat tu, saya tangguhkan dulu buat sementara waktu.

Kemudian, saya terbaca satu lagi buku Azizi Ali yang sangat menarik iaitu Jutawan Extreme! Wah… memang extreme buku ni. Ia mengajar prinsip-prinsip penting untuk bina kekayaan dengan cara yang betul. Azizi Ali banyak sentuh tentang kehidupan, cara berfikir, dan ‘vehicle’ untuk menjadi kaya. Beliau bandingkan tentang beberapa jenis pelaburan, dan yang saya teruja, beliau bandingkan pulangan dari pelaburan dan pulangan daripada perniagaan!

Antara Pelaburan dan Bisnes

Kalau pelaburan, pulangan 20% sudah sangat-sangat teruja. Tetapi perniagaan, pulangan 200% hingga 400% itu biasa saja! Bukan sesuatu yang teruja untuk orang berbisnes.

Wah… apa yang Azizi Ali cakap, samalah dengan apa yang Chef Li cakap. Dari sudut memilih produk, Chef Li selalu sarankan pilihlah produk yang memberi pulangan at least sekitar 400% (bagi mereka yang terlibat dengan pemprosesan)! Cepat sikit pergi haji katanya…

Alhamdulillah… baru saya faham. Orang macam saya, tak perlu pening kepala nak invest duit kat mana. Kalau setakat modal RM10,000 – RM20,000, berapa sen sangat pulangannya kerana pelabur sebenar melabur dengan nilai jutaaan ringgit. Dan mereka memang hidup dengan pulangan pelaburan, bukan dengan bekerja. Bekerja, berbisnes hanyalah stepping stone untuk mereka menjadi pelabur sebenar!

Sebelum berangan-angan nak jadi pelabur yang besar, belajar-belajarlah dulu untuk berbisnes sebab itulah jalan yang dilalui kebanyakkan orang kaya di dunia. Mereka berbisnes sebelum melabur.

Melabur Melalui Bisnes

Persoalan sekarang, nak bisnes apa?

Saya berpegang pada prinsip Chef Li. Katanya “biar kecil, asalkan berhasil, daripada besar, akhirnya bubar!”. Prinsip ni ramai orang tak suka, dan tak sabar. “Kecil-kecil ni tak main” katanya. “Nak buat bisnes, kenalah besar. Kalau nak bisnes besar, kena la buat loan!” katanya lagi.

Sebab itulah kita dengar ramai orang tergila-gila berbisnes dan melabur sana-sini. Cacing la, lintah la, skim itu, skim ini dan berbagai-bagai bisnes yang pelik. Mereka bermula besar, tapi berakhir dengan bubar! Bisnes lingkup, yang untung hanyalah bank pemberi pinjaman…

Prinsip Chef, apapun bisnes, jangan bermula dengan hutang. Menurut Chef lagi, “buatlah bisnes apapun (yang halal), asalkan berbisnes. Suatu hari nanti, anda akan jumpa bisnes yang paling SERASI dengan anda”.

Mulakan Dengan Apa Yang Ada, Apa Termampu

Ya, saya mulakan dengan apa yang ada. Kami keluarkan modal RM400 dari Tabung Haji sebagai dana bisnes. Isteri saya buat tart, saya bawa ke pejabat. Saja-saja buat. Tapi tetiba ada pulak kawan-kawan nak order. Buat sedikit costing (mengikut apa yang saya belajar dari kursus bersama Chef Li), kami supply tart cendawan. Ada kawan-kawan buat event, kami supply. Musim raya, ada juga sikit sebanyak supply biskut raya.

Dapat hasil, kami simpan.

Isteri saya ambik set makanan tambahan mengandung dan bersalin homeopati, dan nampak perbezaan pada beliau dan anak yang lahir dari sudut kesihatan. Maka kami jadi orang tengah, supply set bersalin kepada kenalan terdekat. Bukan menjual, tapi sekadar berkongsi MANFAAT yang kami sendiri alami.

Dapat hasil, kami simpan.

Oh, baru saya faham, seronoknya berbisnes, bukan pada duit yang kami dapat, tapi pada MANFAAT yang kami berikan. Erti hidup pada memberi kata Ustaz Hasrizal. Sebagaimana pesan Nabi, sebaik-baik manusia ialah mereka paling bermanfaat kepada sesama manusia.

Berbisnes, salah satu jalan kita memberi manfaat sesama manusia. Kita boleh mencari erti hidup dan berperanan sebagai khalifah Tuhan juga melalui bisnes. Subhanallah… Puji-pujian bagi Allah…

Keuntungan ‘Pelaburan’ 300% Setahun!

Begitulah lebih kurang cara kami berbisnes dalam masa yang sibuk. Kira-kira pulangan, purata dalam RM100 sebulan ketika itu. Setahun puratanya RM1,200. Modal RM400, pulangan RM1,200. Pulangan keuntungan adalah 300% setahun! Sambil-sambilan… alhamdulillah… Kalau RM400 kami simpan dalam Tabung Haji, pulangannya cuma RM20 (dividen 5%) setahun! Kalau nak dapat RM1,200 daripada simpanan di Tabung Haji, kami kena ada modal RM24,000!

Wah… baru saya faham, kenapa Nabi cakap, 9/10 pintu rezeki datang daripada perniagaan. Sekarang bukan lagi teori, tapi kami rasainya sendiri. “Aaahh… untung seratus jer sebulan?!”. Sinis orang yang tak sabar. Mereka lupa tentang sunnatullah, setiap yang besar, bermula dari kecil.

Sabar, Semuanya Bermula Dari Kecil

Bila merenung tentang sunnatullah dalam penciptaan, saya teringat tentang kebun abah.

Pokok-pokok durian yang besar dan teguh dalam kebun abah seluas 4 ekar hari ini, bermula dari biji benih yang kecil 20 tahun yang lalu. Saya masih ingat abah letakkan dalam beg semaian berwarna hitam. Dengan sabar, abah siram semaian dan pokok secara rutin walaupun belum tentu setiap anak pokok akan hidup dan berhasil.

Bila tanam, abah pastikan bajanya cukup. Abah pastikan sistem pengairan yang baik. Abah tutup elok-elok pokok-pokok kecil dengan pelepah kelapa yang kering supaya kami tak terpijak ataupun tertebas.

Hasilnya, hari ni kami adik-beradik, menantu dan cucu-cucu abah (yang ‘hantu’ durian) dapat nikmati musim durian di kebun abah setiap tahun. Berkat kesabaran abah dulu, hasilnya akan dinikmati dari generasi ke generasi. Anak, cucu dan cicit abah pasti akan ingatkan jasa abah bercucuk tanam untuk mereka.

Buat Yang Betul Dengan Sabar

Itulah dia sunnatullah. Semuanya bermula dari kecil. Kalau abah tak sabar waktu mula-mula berkebun dulu, tak ada apa-apa yang boleh kami sekeluarga nikmati hari ini.

Begitulah juga dengan bisnes. Keuntungan RM10 hari ini jangan dipandang sebelah mata. Ia akan berkembang menjadi RM100, RM1,000, RM10,000, RM100,000 hatta RM1,000,000 hari esok, kalau kita sabar. Terus buat apa yang betul dengan sabar.

Syukur. Puji-pujian bagi Allah. Dana bisnes sambilan kami yang bermula dari RM400 dulu, dah ribuan ringgit nilainya hari ini! Dan akan terus bertambah dari bulan ke bulan. Tak susah rasanya dana tersebut nak cecah 5 angka dalam masa terdekat. InsyaAllah.

Itulah bisnes kecil-kecilan. Sekadar menukar waktu tergolek depan TV dengan membina masa depan. Bisnes tanpa hutang walaupun satu sen. Modal yang kecil, tapi berhasil. Risiko kerugian yang sangat minimum. Dan yang penting, bisnes adalah jalan kami mencari erti dalam kehidupan – dengan memberi manfaat sesama manusia.

Mulakan Bisnes Anda Hari Ini!

Bagi sahabat yang nak mulakan bisnes, anda boleh mulakan bisnes hari ini. Mulakan dengan apa yang ada. Cara paling mudah ialah menjadi orang tengah. Anda tak perlu kemahiran yang khusus, tak perlu tempat yang khusus dan yang paling penting, anda tak perlu waktu yang khusus untuk berbisnes. Rumah anda adalah pejabat anda. Kereta dan motor anda adalah gudang anda. Dan yang paling penting, mulut yang anda bawa ke mana-mana adalah kedai anda!

Anda supply produk (terutamanya produk harian dalam rumah anda) yang anda sendiri puas hati kepada kawan-kawan. Produk yang anda pakai di rumah, makanan yang anda makan setiap hari, mungkin anda boleh buat duit kalau anda ‘nampak’. Chef Li pesan, LIHAT saja tak cukup. Tapi kena LIHAT dan NAMPAK peluang yang ada depan mata sebagaimana pendatang asing NAMPAK berbagai-bagai peluang yang ada di negara kita. Tapi sayangnya, ramai orang kita sekadar lihat, tapi tak nampak-nampak katanya.

Macam mana nak nampak?

Banyak belajar, banyak membaca, dan banyak bergaul dengan orang berbisnes. Dalam waktu yang sama, belajarlah cara berbisnes dengan betul. Anggaplah setiap cabaran ataupun kesilapan sebagai sebahagian proses untuk menjadikan diri anda lebih baik dari semalam. Orang yang tak pernah buat silap ialah orang yang tak pernah berbuat apa-apa. Bahkan tak berbuat apa-apa itu sendiri adalah satu kesilapan. Orang paling berjaya, ialah orang paling banyak buat kesilapan, tapi mereka belajar dari setiap kesilapan.

Prinsip Penting Untuk Mulakan Bisnes

Akhir sekali, mungkin prinsip-prinsip di bawah ni perlu anda ambil perhatian kalau nak mulakan bisnes. Ini bukan ilmu saya, tapi ilmu yang saya pelajarinya dari orang kaya-kaya.

  • Biar kecil, asalkan berhasil. Daripada besar, tapi akhirnya bubar. Elakkan bisnes yang perlukan hutang.
  • Berbisneslah untuk menjual manfaat, bukan sekadar produk. Supaya anda berbisnes dari lubuk hati yang tulus ikhlas. Bukan untuk ‘mengena’ dan mengambil kesempatan.
  • Belajarlah menabung secara berdisiplin kerana itulah tabiat usahawan yang berjaya di dunia.
  • Fokuslah pada mempertingkatkan diri, bukan sekadar poket. Kerja keras yang perlu anda buat pada peringkat permulaan ialah merubah mindset dari seorang pekerja kepada seorang pemilik perniagaan. Kemudian, ubahlah tabiat kepada tabiat yang boleh merubah masa depan anda.

Moga bisnes sahabat semua maju jaya, insyaAlllah.

Wallahu a’lam.

Zulkifli
Damansara Heights
7 Mei 2010
23 Jamadil Awal 1431

(Kredit foto : lexisnexis)

{ 17 comments… read them below or add one }

1 joe penang June 17, 2010 at 9:15 am

Tiada yg mudah dalam berniaga. Tak kira meniaga untuk kesenangan dunia atau akhirat.
Perjuangan untuk yang lebih baik hanya selesai(kaya makin kaya) bila tanah masuk mulut(mati).
Jangan kesibukan kita mencari kesenangan melalaikan kita terhadap tanggungjawab suami, ketua keluarga, masayarakat dan Allah Rabbul Jalil. Amin

p/s: Bangga dengan Hj Ismail MD HPA. Tak guna pinjaman bank untuk besarkan perniagaan. Tak mau terlibat dengan riba

Reply

2 Mohd Zulkifli June 18, 2010 at 7:35 am

T.kasih Joe Penang atas perkongsian dan tazkirah yang sangat menarik dan bermanfaat.

Betul tu. Saya setuju dengan Joe Penang. Tiada senang dengan senang. Tapi bisnes tak lah begitu susah bagi sesiapa yang tahu dan telah berguru. Asalkan jangan ada mentaliti bisnes bermalas-malas..

Ekonomi dan perniagaan salah satu elemen penting dalam membangunkan ummah.

Secara peribadi, saya ada wawasan untuk bangunkan ekonomi ummah sebagaimana usaha gigih Chef Li. Ada roh perjuangan Islam yang sangat kuat pada diri Chef. Roh itu dapat dirasai bila saya berjumpa secara peribadi dengan beliau.

Chef menampakkan saya perspektif perjuangan Islam yang jarang disuluh oleh ‘pejuang’ Islam lain selain Rufaqa’. Kata Chef masa yang berkursus Usahawan Kecil dan Penjaja yang rasanya seperti ditempelak sebagai orang yang terlibat dengan kerja dakwah, lebih kurang begini “kita berceramah berdegar2 tentang perjuangan. lepas ceramah, makan mee non-muslim yang punya. Kicap & sos yang kita makan non-muslim yang punya. Kita mengeluh tentang status halal produk, tapi berapa ramai pengeluar muslim yang ada?”.

Cuba semak di JAKIM, berapa peratus sijil halal dimiliki oleh pengeluar Islam? Tak lebih dari 1 peratus! 99% milik non-muslim…

Apa akan jadi pada ummah kalau produk halalnya disediakan oleh non-muslim? Oh… kita kena buat sesuatu.. dan tak banyak yang kita boleh bantu ekonomi ummah tanpa kita sendiri terjun ke bidang perniagaan.

Mungkin hari ini tak banyak boleh kita sumbangkan dari sudut ekonomi, tapi sekurang-kurangnya KITA telah pun mengambil LANGKAH PERTAMA – berjinak2 dengan perniagaan.

Perniagaan dan berusaha cari makan tak terpisah dari agama, bahkan ia sebahagian dari agama. Bahkan kalau kita tahu, kita boleh cari akhirat melalui perniagaan.

Sekadar berkongsi..

Salam ukhuwwah (“,)

Reply

3 Anonymous March 22, 2013 at 9:16 am

Salam tuan zul

Memang seronok tengok orang berniaga ni tetapi byk cabaran dan dugaan kena tempuhi. Kebanyakan ekonomi dipegang oleh non muslim. Sebenarnya byk peniaga bermula dgn kecil-kecilan gulung tikar disebabkan taktik mereka tu. Bermacam- macam cara mereka bole lakukan antaranya adalah bermain harga siapa paling murah. Tentulah ramai akan memilih yg lebih ekonomi. Di sini byk peniaga baru akan kecundang disebabkan tak mampu bersaing dan kekurangan modal pusingan.
Oleh sebab itu sebelum memulakan perniagaan bersiap sedia dengan sebaik mungkin mudah mudahan tuhan memberkati insyaAllah..

Reply

4 Mohd Zulkifli Shafie March 22, 2013 at 10:00 pm

Wslm tuan,

Terima kasih atas perkongsian pandangan.

Reply

5 Wan Norahman Bin Wan Mustaffa March 26, 2013 at 9:10 am

This comment has been removed by the author.

Reply

6 Wan Norahman Bin Wan Mustaffa March 26, 2013 at 9:21 am

Terima kasih tuan kerana berkongsi pendapat saya pun baru start berniaga dapat la saya sikit ilmu dalam blog tuan alhamdulillah syukur

Reply

7 Mohd Zulkifli Shafie March 28, 2013 at 9:59 am

Alhamdulillah En. Wan. Moga Allah melapangkan rezeki kepada En. Wan sekeluarga. Amiin ya Allah…

Reply

8 Jee August 22, 2013 at 10:25 pm

Alhamdulillah..sy dh msk 1bln 2 mnggu berniaga..mula berniaga bln puasa yg lalu di bazar ramadhan..sy teruja membaca blog En Zul..sy akan terus ikut blog En Zul.. sy jgk berminat dlm pelaburan emas..

Reply

9 Mohd Zulkifli Shafie August 22, 2013 at 11:48 pm

Alhamdulillah puan. Moga Allah berikan kejayaan dan keberkatan kpd puan. Kalau perlukan apa-apa info tentang pelaburan emas, boleh contact saya bila-bila masa. InsyaAllah saya akan bantu.

Reply

10 Zarina Zulkifli November 3, 2013 at 6:43 pm

Setelah membaca artikel diatas..rasa teruja untuk memulakan perniagaan..namun masih buntu bagaimana hendak memulakannya..minat dlm bidang masak memasak dan telah mencuba perniagaan sejuk beku dan kuih raya..mendapat sambutan yg menggalakkan..namun masih takut untuk maju kehadapan..boleh en.Zul beri pendapat dan pandangan…terima kasih

Reply

11 Mohd Zulkifli Shafie November 3, 2013 at 8:37 pm

Mula-mula memang macam tu puan. Kurang keyakinan tu biasa pada permulaan. Lama-lama insyaAllah ok. Teruskan usaha yang betul dengan sabar, insyaAllah masanya akan tiba untuk kejayaan.

Reply

12 Nor Marina binti Hj Sua'at November 4, 2013 at 1:34 am

Assalamualaikum.Alhamdulillah saya diberi peluang mmbaca artikel ini.Saya akan memulakan perniagaan serendah RM315.Menjual wangian kereta dan bilik,produk muslim.Walaupun nilai keuntungan tidaklah tinggi tapi saya berazam untuk merubah kehidupan.Paling penting tidak mmbuat pinjaman dan berhutang.Saya tidak segan membawa produk kecil itu berjual kpd org ramai dan membuka booth sendiri disamping bunting yg berdiri disebelah kereta kecil saya.Beli tunai dan pengguna dpt barang serendah Rm 15 shj.Doakan kejayaan saya utk mncari rezeki lebih demi keluarga.

Reply

13 Mohd Zulkifli Shafie November 4, 2013 at 5:43 am

Wslm Pn. Nor Marina,

Alhamdulillah, terus usahakan apa yang betul dengan sabar. Saya doakan Allah berikan kejayaan dan keberkatan rezeki kepada puan sekeluarga. Amiin ya Allah.

Reply

14 azura July 16, 2014 at 4:07 pm

Assalam saudara, boleh kongsikan bagaimana kita hendak mengira costing barang yang hendak dijual? Jika produk tersebut barang makanan?
Mohon saudara untuk membantu..

Reply

15 Mohd Zulkifli Shafie July 16, 2014 at 6:39 pm

Wslm Pn. Azura,

Puan kena kira berapa total cost untuk siapkan satu-satu batch produk. Daripada kos satu batch tu, bahagikan berapa harga setiap item yang dapat dikeluarkan dalam 1 batch tu.

Reply

16 Johan April 23, 2015 at 5:31 pm

memang terbaik tips yang diberikan. memberi semangat dan motivasi. tq

Reply

17 Mohd Zulkifli Shafie April 28, 2015 at 2:32 am

Alhamdulillah.. Sama-sam En. Johan.

Reply

Leave a Comment

{ 7 trackbacks }

Previous post:

Next post: